Friday, 16 December 2011

Kaca Berwarna

Salah satu contoh kaca bewarna yang digunakan di gereja.

Pasti kita pernah mendengar tentang kaca berwarna. Tahukah anda bahawa penggunaan kaca berwarna atau dalam bahasa Inggeris disebut sebagai “stained glass” ini telah melangkau berabad lamanya. Pada zaman dahulu, penngunaan kaca berwarna ini begitu sinonim dengan gereja atau tempat-tempat bersejarah. Tingkap pada gereja dihiasi indah dengan pelbagai ukiran yang diaplikasikan pada kaca tersebut. Jadi, tidak hairanlah gereja lama menjadi antara tempat tumpuan pelancong dari seluruh pelusuk dunia yang ingin menjamu mata mereka melihat keindahan yang terselit pada karya seni kaca berwarna.

                Melalui perkembangan teknologi yang kian moden, penghasilan kaca ini menjadi semakin menarik dan diminati ramai dek kerana nilai seni yang terdapat padanya. Malah terdapat kaca berwarna yang diberi nafas baru seperti bentuk tiga dimensi.

                Mungkin ramai yang tertanya-tanya bagaimanakah kaca ini dihasilkan, betul bukan? Kaca berwarna ialah kaca yang diwarnakan dengan menambah garam metalik ketika penghasilannya. Kemudian kaca tersebut dibentuk menjadi kepingan-kepingan gelas yang kecil yang kemudiannya disusun menjadi bentuk, corak atau gambar. Secara tradisional,kaca ini dicantum dengan jaluran logam dan disokong oleh bingkai yang kukuh.

                Kaca berwarna merupakan hasil seni yang halus pembuatannya, memerlukan kemahiran artistik untuk menghasilkan corak yang bersesuaian. Manakala kemahiran kejuruteraan diperlukan untuk menyambungkan kepingan-kepingan kaca tersebut menjadi bentuk yang sempurna. Untuk memastikan hasil yang terbaik, ruangan untuk meletakkan kaca ini perlulah muat sepenuhnya untuk mengelakkan kecacatan pada jendela tersebut,selain perlu tahan rintangan angin dan air. Bagi jendela yang besar, ia perlulah mempunyai bingkai yang kukuh untuk menampung beratnya.

                Salah satu jenis kaca berwarna ialah kaca silinder. Dengan menggunakan “blow-pipe”, kaca yang telah lebur diambil daripada tempat pemanasan di dalam relau. Kemudiaannya dibentuk kepada bentuk yang dikehendaki dan gelembung udara ditiupkan ke dalamnya. Peralatan seperti acuan kayu yang telah direndam di dalam air, alat-alat logam dan graviti diperlukan untuk proses manipulasi dimana kaca tersebut  dibentuk menjadi silinder yang panjang. Setelah kaca tersebut sejuk, ia dipanaskan sekali lagi untuk meneruskan proses manipulasi yang seterusnya. Ketika proses tersebut,bahagian bawah silinder dikeluarkan. Selepas ia dibentuk yang diinginkan, ia disejukkan seketika.Selepas itu, salah satu bahagian sisi silinder dibuka dan ianya diletakkan ke dalam ketuhar untuk proses meleperkan kaca. Dan yang akhir sekali, kaca tersebut dimasukkan ke dalam “annealer” untuk proses penyejukan pada kadar yang terkawal, menjadikan kaca berwarna tersebut lebih stabil.

No comments:

Post a Comment